Subscribe:

Jenis-jenis Minuman yang Diharamkan



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ


Ada 7 jenis minuman yang diharamkan iaitu: 

Pertama: Arak (Khamar)

Arak (khamar) iaitu nama bagi minuman mentah (yang dimasak atau tidak disentuh api) daripada air perahan anggur selepas ia mendidih dan menggelegak dan mengeluarkan buih, lalu apabila ia berhenti mendidih ia menjadi jernih. Takrif inilah yang menjadi pendapat Abu Hanifah kerana makna pemabukan tidak akan sempurna kecuali apabila terhasilnya buih. Dengan itu juga ia tidak menjadi arak tanpa buih.


Sementara itu, Imam Abu Yusuf dan Muhammad serta tiga Mazhab (Malik, Shafi'i dan Ahmad) berkata, "Apabila air perahan tersebut mendidih dan menggelegak, maka itulah arak, Sekalipun ia masih belum berhenti mendidih. Sebabnya makna pemabukan terhad kepada mengeluarkan buih. Ini adalah pendapat yang lebih nyata dikalangan ulama' Hanafi, bagi menutup jalan kerosakan bagi orang awam.


Air perahan yang telah mendidih adalah haram dan najis, atau yang diperam selama tiga hari tiga malam. Bukti pengharaman arak dan hikmat pengharamannya ialah firman Allah S.W.T.:  

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (90) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ (91)
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Surah al-Ma’idah: 90-91)

Ayat ini diturunkan pada peringkat pada peringkat keempat daripada peringkat-peringkat perundangan pengharaman arak secara beransur-ansur, pada peringkat pertama ialah firman Allah S.W.T.:
 
وَمِنْ ثَمَرَاتِ النَّخِيلِ وَالْأَعْنَابِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ(67)
Terjemahan: Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya. (Surah al-Nahl: 67)

Pada peringkat keduanya ialah firman Allah S.W.T.: 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ (219)

Terjemahan: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir. (Surah al-BAqarah: 219)

Pada peringkat ketiga ialah firman Allah S.W.T.: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ... (43)
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. (Surah al-Nisa: 219)

Hikmatnya adalah jelas, iaitu menolak kemudaratan dan kerosakan daripada manusia kerana arak adalah ibu bagi banyak keburukan.


Kedua: Manisan (Al-Sakar)
Manisan (Al-Sakar) iaitu air tamar lembab yang tidak dimasak dengan api, ataupun air mentah tidak dimasak daripada buah kurma (rutab) apabila ia mendidih menggelegak dan mengeluarkan buih; dan berhenti daripada mendidih, menurut pendapat Abu Hanifah.


Sementara itu, menurut Imam Abu Yusuf dan Muhammad serta Imam-imam lain ialah apabila ia telah mendidih, walaupun belum tenang, berlawanan dengan pendapat lepas. Begitu juga manisan kurma yang dimasak oleh sakar mengikut kajian qadi Zadah yang diperturunkan dalam bukunya Nata’ij al-Afkar.

Ketiga: Arak (al-Fadikh)
Arak (al-Fadikh), iaitu nama bagi air kurma muda yang kering apabila menggelegak dan mengeluarkan buih atau tidak, sebagaimana perselisihan yang lalu. Dinamakan fadikh kerana ia dipecah-pecahkan.


Keempat: Air Kismis
Air kismis, iaitu nama bagi bahan mentah daripada air anggur yang dimasukkan ke dalam air dan bercampur sehingga keluar kemanisannya dengan tidak dimasak, mendidih dan menggelegak, sama ada mengeluarkan buih atau tidak, sebagaimana perselisihan yang lalu.


Kelima: Al-Tala’a atau al-Muthallath
Al-Tala’a atau al-Muthallath, iaitu nama air anggur yang dimasak sehingga kering dua per tiga dan tinggal satu per tiga. Ia boleh memabukkan mengikut pendapat yang tepat iaitu ulama’ Hanafi. Hukummnya adalah haram menurut Abu Hanifah dan Abu Yusuf  sekiranya diminum untuk berhibur dan berfoya-foya sebagaiman yang biasa dilakukan oleh kebanyakan peminumnya. Sebaliknya jika ia diminum dengan tujuan untuk menguatkan atau berubat, dan ini adalah jarang berlaku, maka diharuskan. Tetapi, menurut Abu Yusuf dan Muhammad serta imam-mam lain, ia diharamkan sama sekali.

Keenam: Al-Badhaq atau Al-Munassaf
Al-Badhaq atau Al-Munassaf, iaitu air perahan anggur yang dimasak sekejap sehingga kering tidak sampai dua per tiga: Sama ada kurang dari satu per tiga atau setengah, dan ia boleh memabukkan. Bukti yang menunjukkan bahawa baki yang melebihi satu per tiga itu haram ialah hukuman sabit daripada Sayidina ‘Umar bahawa beliau menghalalkan perahan tersebut yang dimasak sehingga kering dua per tiga dan tinggal satu per tiga. Oleh itu, mana-mana yang tidak kering dua per tiganya,  kekuatan pemabukan masih padanya.

Ketujuh: Al-Jamhuri
Al-Jamhuri, iaitu air perahan buah anggur (al-Tala’a) yang telah dimasak dan dimasukkan air ke dalamnya sehingga air itu meresap masuk ke dalamnya sehingga air perahan kembali banyak seperti asal. Kemudian dimasakkan di atas api sekejap, dan ia boleh memabukkan. Ia diharamkan menurut Abu Hanifah dan Abu Yusuf sekiranya diminum untuk keseronokan dan berhibur. Sementara itu, ia diharamkan sama sekali menurut Imam Muhammad serta Imam-imam lain. 



Sumber rujukan: Kitab Fiqh dan Perundangan Islam (Jil. IV) oleh Dr. Wahbah Zuhayli, hal. 138-141.








Hilal Ramadhan dan Shawal

السلام عليكم ورحمة الله


Alhamdulillah, kita dapat bertemu lagi Ramadhan pada tahun ini.Tahukah anda bagaimana penentuan hilal Ramadhan dan Shawal dilakukan? Mengapakah terdapat beberapa negara yang berpuasa awal atau lambat sehari daripada Malaysia? Terdapat tiga cara untuk menentukan hilal Ramadhan dan Shawal:
 
1) Ru'yah (melihat) jemaah yang hebat (alim ulamak, kadi, mufti)
2) Ru'yah dua orang Islam yang adil
3) Ru'yah seorang Islam yang adil


Pada zaman dahulu, cerapan hilal dilihat mengikut keadaan langit. Iaitu, sama ada langit dalam keadaan cerah atau mendung dan berawan sehingga menyebabkan fuqaha' berbeza pendapat mengenai hilal. Namun, pada masa kini dengan kecanggihan teknologi, hilal dapat dilihat dalam keadaan langit cerah, berawan dan medung.


Di Malaysia, kaedah cerapan dan ru'yah dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri. Seperti negeri Johor, di Jabatan Mufti Johor, bahagian Falak berperanan menyediakan dan membuat kiraan data-data rukyah, membuat cerapan hilal bagi menentukan awal bulan hijrah dan menyediakan laporan kepada Jawatankuasa Rukyah Negeri Johor dan Kebangsaan.


Kenapa ada beberapa  negara yang berpuasa awal sehari atau lambat sehari dari negara kita?

Para fuqaha' berselisih pendapat mengenai tempat muncul hilal. Untuk mengetahui waktu bermula dan berakhirnya bulan Ramadhan adalah dengan Ru'yah hilal, bukannya dengan kaedah pengiraan falak. Kemunculan hilal adalah berbeza bagi setiap tempat. Oleh itu, terdapat dua pendapat daripada para fuqaha' mengenai bilakah waktu yang tepat bagi ramadhan itu bermula.

Pendapat Jumhur
Jumhur ulamak berpendapat tempat kemunculan hilal di negara timur dan barat adalah sama. Oleh itu, waktu bermula ramdhan bagi semua negara adalah sama. Apabila muncul hilal di negara barat, negara-negara di timur juga wajib berpuasa sama ada dekat ataupun jauh. Sebagai contoh, hilal ramadhan dapat di lihat di Makkah, maka semua negara di seluruh dunia wajib berpuasa pada keesokan hari.

Dalil Jumhur

"Berpuasalah kamu kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kamu kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kamu terlindung (terhalang oleh awan), maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari". (HR. Bukhari no. 1776 dari Abu Hurairah).

 

Pendapat golongan yang bermazhab Shafi'ie
Al-Shafi'ieyyah berpendapat bahawa apabila hilal dapat dilihat di sebuah negara, maka hukum wajib berpuasa hanya diamalkan oleh negara-negara yang berhampiran sahaja. Hal ini disebabkan kemunculan hilal di setiap negara adalah berbeza. Oleh itu, hanya negara-negara yang berhampiran sahaja mempunyai hilal ramadhan yang sama seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Menurut mazhab ini, jarak yang membezakan kemunculan hilal dari sebuah negara dengan negara yang lain ialah 133, 056 kilometer.

Dalil Mazhab Al-Shafi'ieyyah
Hadith Kuraib:
“Kuraib mengkhabarkan bahawa Ummu Fadll bint al-Harith mengutusnya kepada Muawiyyah di Syam. Kuraib berkata : “Aku sampai di Syam kemudian aku memenuhi keperluannya dan diumumkan tentang hilal Ramadhan, sedangkan aku masih berada di Syam. Kami melihat hilal pada malam Jumaat. Kemudian aku tiba di Madinah pada akhir bulan. Maka Ibnu Abbas bertanya kepadaku – mengenai hilal — : ‘Bilakah kamu melihat Hilal?’ Akupun menjawab : ‘Aku melihatnya pada malam Jumaat. Beliau bertanya lagi : ‘Engkau melihatnya pada malam Jumaat ?’ Aku menjawab :’Ya, orang-orang melihatnya dan merekapun berpuasa, begitu pula Muawiyyah.’ Dia berkata : ‘Kami melihatnya pada malam Sabtu, kami akan berpuasa menyempurnakan tiga puluh hari atau kami melihatnya (hilal).’Aku bertanya : ‘Tidakkah cukup bagimu ru'yah dan puasa Muawiyyah ?’ Beliau menjawab : ‘Tidak! Begitulah Rasulullah memerintahkan kami.’” (HR. Muslim 1087, At-Tirmidzi 647 dan Abu Dawud 1021. Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi di Shahih kan oleh Al-Albani dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 1/213)


Sumber: FalakOnline. Anak bulan Ramadhan dari Sg Lada Labuan

Sumber rujukan:
  1. Fiqh al-Islami wa adillatuhu oleh Wahbah Zuhaili
  2. Jabatan Mufti Johor
  3. Jakim
  4. FalakOnline



 


Puasa yang Diwajibkan

              

              Puasa merupakan rukun islam yang ke-3 dan pada kebiasaannya ia ditunaikan ketika bulan Ramadhan. Namun, puasa yang wajib ke atas umat Islam bukan hanya di bulan Ramadhan sahaja, tetapi ada keadaan-keadaan tertentu yang wajib untuk berpuasa. 

            Kitab Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu karangan Dr Wahbah Zuhaili menjelaskan bahawa puasa diwajibkan pada salah satu daripada 3 keadaan berikut:

Sebab Pertama: Nazar

Keadaan ini boleh dilihat apabila seseorang itu bernazar untuk berpuasa sehari atau sebulan  yang bertujuan  menghampirkan diri kepada Allah S.W.T. Apabila seseorang itu bernazar, maka wajib ke atas dirinya untuk menunaikannya. Jika puasa itu ditentukan pada hari atau bulan tertentu, dan dia berpuasa lebih awal daripada hari atau bulan yang ditentukan, hukumnya adalah harus disebabkan wujud sebab-sebab tertentu.


Sebab Kedua : Kafarat

Seseorang itu wajib berpuasa apabila dijatuhkan hukuman kafarat ke atasnya seperti kesalahan membunuh tidak sengaja, melanggar sumpah, berjimak disiang hari ketika bulan Ramadhan dan zihar.


Sebab Ketiga : Melihat Anak Bulan Ramadhan

Apabila seseorang itu melihat anak bulan ramadhan sama ada pada waktu siang atau malam, maka ia diwajibkan untuk berpuasa berdasarkan pendapat al- Hanafiyyah.


        Puasa juga diwajibkan apabila melihat anak bulan (crescent moon) ketika langit dalam keadaan baik. Selain itu, puasa juga wajib apabila genap 30 hari bulan sya'aban ketika langit berawan atau kabus.  Allah Ta'ala berfirman:

فمن شهد منكم الشهر فليصمه

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan (al-Baqarah;2)

Rasulullah bersabda: 
Dari Ibn Umar r.a. Dari Nabi saw. bahwa beliau menyebut-nyebut tentang bulan Ramadhan sambil mengangkat kedua tangannya dan bersabda: "Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadhan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari)." (Riwayat Muslim)

    
      Kesimpulannya, umat Islam diwajibkan berpuasa disebabkan nazar, atau kafarat, atau melihat anak bulan ramadhan. Jika berkesempatan, Projurist akan menulis kaedah penentuan hilal ramadhan dan hilal syawal. Inshaallah..