Subscribe:

Jenis-jenis Minuman yang Diharamkan



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ


Ada 7 jenis minuman yang diharamkan iaitu: 

Pertama: Arak (Khamar)

Arak (khamar) iaitu nama bagi minuman mentah (yang dimasak atau tidak disentuh api) daripada air perahan anggur selepas ia mendidih dan menggelegak dan mengeluarkan buih, lalu apabila ia berhenti mendidih ia menjadi jernih. Takrif inilah yang menjadi pendapat Abu Hanifah kerana makna pemabukan tidak akan sempurna kecuali apabila terhasilnya buih. Dengan itu juga ia tidak menjadi arak tanpa buih.


Sementara itu, Imam Abu Yusuf dan Muhammad serta tiga Mazhab (Malik, Shafi'i dan Ahmad) berkata, "Apabila air perahan tersebut mendidih dan menggelegak, maka itulah arak, Sekalipun ia masih belum berhenti mendidih. Sebabnya makna pemabukan terhad kepada mengeluarkan buih. Ini adalah pendapat yang lebih nyata dikalangan ulama' Hanafi, bagi menutup jalan kerosakan bagi orang awam.


Air perahan yang telah mendidih adalah haram dan najis, atau yang diperam selama tiga hari tiga malam. Bukti pengharaman arak dan hikmat pengharamannya ialah firman Allah S.W.T.:  

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (90) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ (91)
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Surah al-Ma’idah: 90-91)

Ayat ini diturunkan pada peringkat pada peringkat keempat daripada peringkat-peringkat perundangan pengharaman arak secara beransur-ansur, pada peringkat pertama ialah firman Allah S.W.T.:
 
وَمِنْ ثَمَرَاتِ النَّخِيلِ وَالْأَعْنَابِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ(67)
Terjemahan: Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya. (Surah al-Nahl: 67)

Pada peringkat keduanya ialah firman Allah S.W.T.: 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ (219)

Terjemahan: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir. (Surah al-BAqarah: 219)

Pada peringkat ketiga ialah firman Allah S.W.T.: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ... (43)
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. (Surah al-Nisa: 219)

Hikmatnya adalah jelas, iaitu menolak kemudaratan dan kerosakan daripada manusia kerana arak adalah ibu bagi banyak keburukan.


Kedua: Manisan (Al-Sakar)
Manisan (Al-Sakar) iaitu air tamar lembab yang tidak dimasak dengan api, ataupun air mentah tidak dimasak daripada buah kurma (rutab) apabila ia mendidih menggelegak dan mengeluarkan buih; dan berhenti daripada mendidih, menurut pendapat Abu Hanifah.


Sementara itu, menurut Imam Abu Yusuf dan Muhammad serta Imam-imam lain ialah apabila ia telah mendidih, walaupun belum tenang, berlawanan dengan pendapat lepas. Begitu juga manisan kurma yang dimasak oleh sakar mengikut kajian qadi Zadah yang diperturunkan dalam bukunya Nata’ij al-Afkar.

Ketiga: Arak (al-Fadikh)
Arak (al-Fadikh), iaitu nama bagi air kurma muda yang kering apabila menggelegak dan mengeluarkan buih atau tidak, sebagaimana perselisihan yang lalu. Dinamakan fadikh kerana ia dipecah-pecahkan.


Keempat: Air Kismis
Air kismis, iaitu nama bagi bahan mentah daripada air anggur yang dimasukkan ke dalam air dan bercampur sehingga keluar kemanisannya dengan tidak dimasak, mendidih dan menggelegak, sama ada mengeluarkan buih atau tidak, sebagaimana perselisihan yang lalu.


Kelima: Al-Tala’a atau al-Muthallath
Al-Tala’a atau al-Muthallath, iaitu nama air anggur yang dimasak sehingga kering dua per tiga dan tinggal satu per tiga. Ia boleh memabukkan mengikut pendapat yang tepat iaitu ulama’ Hanafi. Hukummnya adalah haram menurut Abu Hanifah dan Abu Yusuf  sekiranya diminum untuk berhibur dan berfoya-foya sebagaiman yang biasa dilakukan oleh kebanyakan peminumnya. Sebaliknya jika ia diminum dengan tujuan untuk menguatkan atau berubat, dan ini adalah jarang berlaku, maka diharuskan. Tetapi, menurut Abu Yusuf dan Muhammad serta imam-mam lain, ia diharamkan sama sekali.

Keenam: Al-Badhaq atau Al-Munassaf
Al-Badhaq atau Al-Munassaf, iaitu air perahan anggur yang dimasak sekejap sehingga kering tidak sampai dua per tiga: Sama ada kurang dari satu per tiga atau setengah, dan ia boleh memabukkan. Bukti yang menunjukkan bahawa baki yang melebihi satu per tiga itu haram ialah hukuman sabit daripada Sayidina ‘Umar bahawa beliau menghalalkan perahan tersebut yang dimasak sehingga kering dua per tiga dan tinggal satu per tiga. Oleh itu, mana-mana yang tidak kering dua per tiganya,  kekuatan pemabukan masih padanya.

Ketujuh: Al-Jamhuri
Al-Jamhuri, iaitu air perahan buah anggur (al-Tala’a) yang telah dimasak dan dimasukkan air ke dalamnya sehingga air itu meresap masuk ke dalamnya sehingga air perahan kembali banyak seperti asal. Kemudian dimasakkan di atas api sekejap, dan ia boleh memabukkan. Ia diharamkan menurut Abu Hanifah dan Abu Yusuf sekiranya diminum untuk keseronokan dan berhibur. Sementara itu, ia diharamkan sama sekali menurut Imam Muhammad serta Imam-imam lain. 



Sumber rujukan: Kitab Fiqh dan Perundangan Islam (Jil. IV) oleh Dr. Wahbah Zuhayli, hal. 138-141.








0 Comment:

Post a Comment