Halanglah
lintasan hati untuk menipu, kerana jika terlaksana lintasan itu ia akan
bertukar menjadi halilintar yang menyambar hati orang lain! Halilintar
yang menyambar membakar hati yang ditipu.Wajah menjadi muram, gerak badan menjadi lemah akibat disambar
halilintar itu. Segalanya menjadi suram. Kegelapan menyelebungi hati,
zulmat membungkam jiwa.
Jika terkena pada hati yang ibarat batu kerikil masih dapat
dipertimbangkan, namun bagaimana jika terkena pada hati selembut sutera.
Sutera tidak boleh dibasuh sesuka hati kerana ia sensitif. Sutera itu
mahal harganya kerana cara penjagaannya perlu rapi. Perlu kepekaan tanpa
kelalaian.
Batu kerikil keras teramat. Jika ditumbuk tidak dapat tidak akan
merasa kepedihannya. Berhati-hatilah apabila berhadapan dengan
perwatakan yang belum dikenali, kerana kita masih belum tahu apa
didalamnya.
KERIKIL ATAU SUTERA?Bertenanglah wahai pemilik sutera! Kerana orang yang bicara denganmu itu tidak tahu bagaimana keadaan hati kamu. Bertindaklah bersama Allah S.W.T. Bawalah Allah S.W.T ke dalam hati kamu. Jika Dia dapat mengampunkan dosa hambanya, siapalah kita sehinnga terlalu ego tidak mahu memaafkan orang yang menyakitkan kita?
Jika kita ikhlas memberi mengapa kita takut untuk menerima. Terimalah
apa sahaja yang diberi kembali kerana itulah yang selayaknya untuk
kita. Kaji semula hati kita, semasa kita memberi adakah dalam hati kita
ada 'tarik tali'. Adakah wujud dalam hati kita rasa ragu-ragu terhadap
takdir dan ketentuan Allah S.W.T?
Jika ada rasa sebegitu, ubahlah! Mungkin hati kita perlu ditarbiyyah.
Noda hitam yang bertompok masih lagi berbekas. Bersihkanlah dengan
zikir dan fikir. Zikirlah dari dalam bukan sekadar bicara bibir. Fikir
dan lakukanlah, bukan sekadar fikir dan jadikan pekasam.
"Jadilah seperti pohon yang berbuah, dibaling kayu dibalas dengan buah yang dapat dimakan enak."
Beruntunglah wahai si kerikil. Engkau kebal akan tohmahan dan tumbukan yang diterima. Namun ingatkah engkau akan air yang menitis di atas batu akan meninggalkan bekas?
Engkau masih ada perasaan, engkau masih ada jiwa. Jika terlalu lama
engkau menerima tumbukan, ia akan berbekas! Sirnakanlah bekas itu dengan
redha. Allah S.W.T telah menetapkan itu terbaik buat kamu. Indahkanlah
diri kamu dengan sabar kerana sabar itu indah.
Jika sabar menghiasi diri, keindahan diwajah anda akan terserlah.
Allah S.W.T bersama kamu wahai penyabar. Namun, ingatlah! Jangan sampai
sabar itu memakan diri kamu apabila kamu bersabar dengan kemungkaran.
Seorang suami akan dianggap dayus dan pengecut jika dia melihat
isterinya bermesra dengan lelaki lain tanpa perasaan. Sabar memerlukan
tindakan. Bertindaklah mengikut keadaan. Tindakan mestilah rasional dan
bersesuian. Jika emosi menjadi raja, sabar tidak bermakna.
"Kesabaran merupakan dhiya' (cahaya yang amat terang)." (HR Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda:
"Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (HR Baihaqi)
Sabarlah dalam bersabar nescaya tidak akan timbul persoalan "sampai bila aku perlu bertahan?".
Mujahadah dalam bersabar. Bukan mudah tetapi tidak mustahil.
2 Comment:
best baca p0st dayah ni..=)
Ni artikel i luv Islam,bkn asli dr sy pn..hehe
Post a Comment